<< October 2019 >>
Sun Mon Tue Wed Thu Fri Sat
 01 02 03 04 05
06 07 08 09 10 11 12
13 14 15 16 17 18 19
20 21 22 23 24 25 26
27 28 29 30 31


If you want to be updated on this weblog Enter your email here:



rss feed



Mar 12, 2009
Dato’ Haji Abdullah Sijang

Dato' Haji Abdullah Sijang

 

Pendahuluan

 

Orang alim ini pernah disebut oleh Tuan Haji Ismail Che Daud (sidang pengarang buku Tokoh Ulama Semenanjung) dari Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) kepada saya beberapa tahun dahulu. Beliau menyarankan agar saya menziarahi bekas kadhi yang diakui alim ini, tetapi saya selalu disibukkan oleh bebanan kerja maka hasrat untuk mencari Haji Abdullah Sijang itu sering tertangguh. Beberapa tahun kemudian, saya mendapat perkhabaran bahawa tokoh yang saya cari tersebut telah kembali ke rahmatullah.

 

Syawal ketiga dalam tahun 2004, saya sempat bertandang di rumah almarhum di sebelah Masjid Jame' Port Dickson yang dinamakan Masjid Abdullah Sijang. Saya berjanji dengan keluarga almarhum untuk datang semula mendapatkan biografi tokoh mulia ini. Namun bila ada khabar usaha-usaha Jabatan Mufti Negeri Sembilan untuk membukukan tokoh-tokoh ulama silam termasuk nama Dato' Haji Abdullah Sijang, saya pun mengambil jalan mudah untuk menunggu kelahiran buku tersebut. Ini tentu memudahkan usaha saya menambah koleksi blog saya 'Jejak Ulama Di Negeri Adat Perpatih' (sila kunjungi  http://ulamakito.blogdrive.com )

 

Latar belakang

 

Dato' Haji Abdullah Sijang  lahir pada tahun 1914 tetapi catatan di sijil kelahirannya ialah 16 Febuari 1915. Saya kira sebelum kemerdekaan tanahair, data kelahiran anak-anak belum dititik beratkan lebih-lebih lagi bagi kawasan-kawasan perkampungan yang jauh di perdalaman.

 

Bapa Haji Abdullah ialah  Haji Sijang bin Kulub dan bondanya Rahmah binti Mohd Noh. Mereka mempunyai empat orang anak iaitu dua lelaki dan dua perempuan. Zaman kanak-kanaknya, Dato' Haji Abdullah dikatakan seorang yang pintar dan terang hati. Mula mengaji al Quran pada usia 5 tahun daripada bapa saudara sebelah ibunya iaitu Haji Yaakub Mohd Noh dan Haji Husin Maksum. Beliau berjaya khatam al Quran pada usia 8 tahun sahaja.

 

Pendidikan formal pula, beliau bersekolah di Sekolah Melayu Rantau hingga darjah lima. Kemudian melanjutkan pengajian agama secara memondok di Pondok Darul Wataniah di Kepala Batas dalam tahun 1929 bawah bimbingan Tuan Guru Haji Abdullah Haji Fahim. Di sana, beliau mendalami ilmu dalam bidang feqah, tauhid, al Quran, ulum syariah, sejarah, akhlak, falak dan lain-lain lagi.

 

Tahun 1931, Haji Abdullah mengikuti tuan gurunya Haji Abdullah Fahim yang dilantik sebagai mudir Madrasah Idrisiah Bukit Chandan, Kuala Kangsar. Kemudian ke Beranang, Selangor berguru pula dengan Tuan Haji Shamsudin Haji Isa.

 

Berdikari

 

Setelah tamat pengajian di pondok itu, beliau balik ke kampong di Kanchung, Rantau ketika usia mencapai 17 tahun. Dengan keilmuan agama yang ada, anak remaja ini dilantik sebagai bilal muda dan menjadi siak masjid. Sikap dan akhlak terpuji itu menjadi buah mulut orang. Beliau dikatakan seorang yang bertanggung jawab dan suka berdikari. Membantu keluarga dengan menoreh getah dan membuat kerja-kerja kampung.

 

Melanjutkan pengajian

 

Dinyatakan ketika gerakan kesedaran anak watan untuk memajukan bangsa dan tanahair seperti munculnya Pergerakan Melayu Muda (KMM) serta kegigihan mantan guru kesayangannya Sheikh Abdullah Fahim telah mendorong Haji Abdullah untuk meningkatkan ilmu di dada dan berbakti kepada agama, nusa dan bangsanya sendiri. Mungkin kerana itulah, beliau kembali menyambung pengajian agama di Pondok Pasir Mas, Kelantan pula selama 3 tahun. Akhirnya, cita-citanya untuk melanjutkan pelajaran di Mekah menjadi kenyataan pada tahun 1937. Di sana beliau mengaji hingga peringkat tinggi di Madrasah Solatiah.

 

Haji Abdullah Sijang berada di tanah suci mendalami ilmu agama selama lebih kurang 13 tahun lamanya. Tempoh yang kira panjang itu dimanfaatkan sepenuhnya oleh beliau. Beliau tidak mengabaikan harapan keluarganya yang menghantar anaknya hanya bekalan tambang semata-mata.

 

Tarekat Ahmadiah

 

Di sana jugalah, Dato' Haji Abdullah mendalami Tarekat Ahmadiah daripada Tuan Guru Mohd Syafie bin Mohd Salleh bin Abdul Rahman. Tuan guru itu adalah ulama tasawuf yang mengajar di Kota Mekah. Guru ini menerima ijazah tarekat dari Sayid Ibrahim al Rashid yang sezaman dengan Tuan Tabal dan Syeikh Mohd Said al Linggi yang juga menjadi muridnya.

 

Tuan Guru Mohd Syafie kesayangannya ini berasal dari Kedah. Almarhum dikatakan ahli sufi aliran tasawuf akhir kurun 19 dan awal kurun ke 20 an. Beliau meninggal dunia di Mekah dalam tahun 1950. Sepanjang hidupnya, beliau dikatakan seorang sufi yang masyhur dan memiliki berbagai keajaiban dengan izin Allah. Bila mengajar dan memberi bayangan sesuatu perkara, maka murid-murid seolah-olah merasakan kenikmatan, kegerunan dan merasai apa yang dikatakannya.

 

Oleh kerana itu, tidak mustahillah kesan dari asuhan dan pendidikan gurunya itu telah mencerna hati Haji Abdullah. Beliau amat teliti, tegas dan memiliki jiwa yang baik.

 

Berkeluarga

 

Sekembalinya dari Mekah al Mukaramah pada April 1948, ibu bapanya menjodohkan anak muda ini dengan calon pilihan keluarga iaitu Hajah Siti Tijah binti Sani. Usia Haji Abdullah ketika itu sudah menjangkau 31 tahun lantaran lamanya mengaji di perantauan. Isterinya pula baru berusia 13 tahun. Usia berkahwin begini bukanlah suatu keganjilan ketika dahulu dan keluarga yang bermenantu orang alim sangat dihormati. Apatah lagi bila menjadi payung negeri tempat orang menumpang berkat ilmu. Hasil perkahwinan itu mereka dianugerahkan 3 orang cahaya mata iaitu Latifah Haji Abdullah, Abdul Wahid dan Mohd Fauzi Abdullah. Keluarganya ini kini menetap di perkarangan Masjid Jamek Port Dickson.

 

Dato' Haji Abdullah amat mengambil berat tentang pendidikan agama anak-anaknya. Beliau membuat peraturan supaya anak-anaknya wajib khatam al Quran sebelum usia baligh. Namun, dalam menentukan kerjaya anak-anak, beliau dikatakan liberal pula.

 

Kerjayadiri

 

Dato' Haji Abdullah mula berkhidmat secara formal pada Jun 1949 setelah dilantik menjadi Naib Kadi kawasan Pantai. Jawatan itu dikatakan telah ditawarkan oleh mufti kerajaan waktu itu Syeikh Ahmad Mohd Said. Setelah dipujuk beberapa kali barulah beliau menerimanya lantaran kerana zuhud beliau untuk menerima tanggung jawab yang dianggap berat itu. Tahun 1957, beliau dilantik pula menjadi kadi Port Dickson.

 

Peringkat awalnya, beliau menerima gaji sebanyak RM160.00 sebulan dan gaji maksimum pada akhir perkhidmatan hanyalah sebanyak RM425.00 dan pencen bulanan ialah RM270.00 sahaja. Di daerah Port Dickson, beliau berkhidmat hingga bersara wajib 1970 dan disambung kontrak perkhidmatan sehingga tahun 1979. Tahun 1980, Dato' Haji Abdullah dilantik sebagai jawatankuasa syariah negeri hingga tahun 2003. Dato' Haji Abdullah kembali ke rahmatullah  pada 25 Mei 2003 jam 3.55 petang dalam usia 89 tahun di Hospital Daerah Port Dickson.

 

Perjuangan

 

Dato' Haji Abdullah Sijang ini dianggap tokoh yang banyak berjasa meninggikan syiar Islam di negeri ini. Selain bertugas sebagai kadi, ia juga bertanggung jawab dalam merangka sebuah organisasi besar yang kini dikenali Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan.

 

Sebagai pemimpin agama dan tugas kadi, Dato' Haji Abdullah pernah melalui berbagai mehnah perjuangan untuk mentarbatkan kesucian agama. Beliau sangat berani dan bersikap berterus terang tanpa memilih bulu. Yang batil tetapi disanggah dan beliau sanggup pula turun membimbing ummah yang dahagakan panduan agama. Beliau memahami usaha murni ini memerlukan pengorbanan besar kerana rata-rata masyarakat Islam peringkat awalnya berada dalam serba kedhaifan.

 

Budaya bangsa kita sebelum merdeka dan beberapa dekad selepasnya, masih tidak lekang oleh unsur-unsur kekurafatan dan amalan adat yang dianggap ibadat. Penjajahan salih berganti, faktor pembangunan tidak seimbang setiap tempat dan pendidikan agama yang masih lemah adalah punca permasalahan. Jesteru itu, kebangkitan para alim ulama untuk membimbing masyarakat amat dihargai dan sungguh berjasa. Beberapa amalan karut-marut terdahulu terdahulu telah menjadi sejarah lama ekoran dari penggembelingan semua pihak yang prihatin untuk 'amal maaruf dan mencegah kemungkaran'.

 

Pandangan

 

Saya tertarik dengan bahasan dalam buku bibliografi Dato' Haji Abdullah ini mengenai masalah amalan dan ajaran sesat yang turut ditangani oleh Allahyarham sepanjang karier hidupnya. Banyak kepercayaan sesat dicatatkan antaranya amalan bersaka, sihir, mandi safar, pembomohan, amalan pemujaan , mempercayai semangat, ajaran sesat melalui aliran beragama dan ilmu bela diri. Walaupun masih ada amalan ini diamalkan sehingga kini tetapi pemantauan pihak berwajib tetap diteruskan.

 

Menyanggah kebatilan yang telah berakar umbi dalam budaya masyarakat adalah berat dan memerlukan komitmen yang tinggi. Bagi saya, tahap pendidikan agama sejak awal lagi dan kesedaran pihak kerajaan untuk membenteras gejala sesat sangat-sangat perlu. Malang sekali, kalau pihak berwajib agama tidak mendapat sokongan padu dari pihak kerajaan memerintah. Tanpa ketegasan dan kesedaran kerajaan, gejala-gejala mungkar secara tradisi ini tidak dapat dibasmi sepenuhnya. Kadang-kadang kita menjadi keliru apabila fahaman-fahaman sesat itu sendiri dianuti oleh pihak berwajib.

 

Misalnya, sejauh mana pihak berkuasa agama dan ketegasan cerdik pandai Islam berani menyanggah anutan sesat fahaman-fahaman baru atau yang dikenali 'isme-isme' yang telah diserasikan dalam amalan moden ini. Fahaman kebangsaan atau nasionalisma, sekularisma, liberalisma, politik suku-agama suku dan berbagai lagi. Ada ulama mengatakan "haram" atas fahaman baru itu tetapi apabila penganutnya adalah para pemerintah lalu semacam ada kelonggaran pula. Mungkinkah sikap 'beralah' dengan pemerintah telah diwarisi sejak kesultanan Melaka dahulu. Keislaman rakyat mengikut agama raja tetapi budaya animisme, pengaruh hindu dan tidak mengamalkan Islam secara syumul terus diamalkan.

Bagaimana gejala mungkar itu boleh dibasmi jika perlembagaan atau amalan tidak islamik itu terus dijadikan saka oleh golongan pemerintah? Isu ini memang sensitif tetapi kebangunan minda waras cerdik pandai agama amat perlu. Kita berbangga bagaimana keberanian dan ketegasan Dato' Haji Abdullah Haji Sijang ini ketika menyanggah amalan silat kebatinan Nasrul Haq awal tahun 1970an dahulu. Walaupun, pengasas silat ini Tan Sri Samad Idris seorang tokoh politik, dan menteri kabinet, tidak menghalang Dato' Haji Abdullah untuk menghantar surat khas kepada Tan Sri Samad Idris. Secara tegas beliau mendakwa amalan itu adalah sesat dan haram. Atas desakan golongan ulama, akhirnya majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan bahawa Nasrul Haq itu diharamkan.

 

Siapa lagi alim ulama kita di negeri ini yang berani seperti Dato' Haji Abdullah? Kita menantikan teguran mereka untuk menyanggah gejala syirik dan berdosa yang melanda fahaman para pemimpin politik dan amalan adat perpatih kita. Allahyarham Dato' Mufti Ishak Baharom mengatakan dividen dari saham ASN/ASB haram dan turut disokong oleh Dato' Mufti Haji Murtadza tetapi mereka yang memegang tampuk pemerintahan itu bertelingakan kuali sahaja. Mana dia ulama rasmi yang berani mengharamkan bertafakur di Tugu Peringatan Negara?

 

Bukan suatu berita keganjilan bila ada pihak-pihak menggunakan perkhidmatan bomoh, rasuah berbentuk wang dan betina untuk berebut jawatan. Kemudian mereka inilah yang diamanahkan sebagai pimpinan. Kenapa kita perlu menyertai kerja gila ini?

 

Saya mohon maaf kerana menggunakan blog saya ini untuk menyatakan protes kerana saya juga tidak rela menginjak-injak kebenaran. Yang hak tetap hak dan kebatilan harus dibenteras. Kalau orang awam boleh merasakan tanda-tanda mungkar itu dan berani membuat sanggahan, apakah yang berilmu itu tidak merasakan apa-apa? Lupakah mereka akan peringatan Allah SWT dalam surah Al Fathir: 28 yang bermaksud,

 

"Sesungguhnya yang takutkan Allah di kalangan hamba-hambanya ialah ulama"

 

Tegur nasihat biasanya pahit dan boleh mengundang kemarahan orang, tetapi tugas orang yang berilmu adalah berat memikul amanah Allah. Mereka pewaris para nabi dan dianggap bintang-bintang di langit yang boleh dijadikan panduan orang ketika dalam kegelapan di bumi dan di laut ( hadith). Mohon dijauhkan Allah jika digelarkan ulama ussu' yang lebih mementingkan periuk nasi, jawatan dan pengaruh. Mereka yang begini perilakunya, suka mendampingi orang-orang besar atau menjadi jurubicara mereka. Kalau memberi nasihat hanya sehala sahaja bagi menjaga kedudukan. Saya menyarankan orang-orang alim kita yang mempunyai ilmu agama itu memahami maksud pengertian 'ulama dunia atau resmi' dan menyedari kedurjanaan 'Hizbulssyaitan' dalam mengadu-domba ummah.

 

Pengalaman saya berbicara dengan mereka ini, jelas sekali ada kalangan mereka yang 'terlupa' tugasan mereka dan paling melucukan 'macam mamai' bila saya lontarkan soalan-soalan seperti fahaman-fahaman sesat bentuk baru, ulama ussu' dan ciri-ciri 'Hizbulssyaitan'. Maaf nak kata, seolah-olah masih ramai yang kurang membaca dan terkeliru. Kalau begitu, bagaimana mereka berupaya menangani gejala kemungkaran yang melanda fikrah ummah?

  

Akhirkata, saya memohon maaf sekali lagi kepada semua pihak yang tersentuh membaca komentar saya dan terima kasih kepada Saudara Wan Ahmad Arshad, rakan-rakan dan Jabatan Mufti Negeri Sembilan kerana menerbitkan buku Tokoh Ulama Silam negeri ini. Semoga semuanya mendapat pahala dan keberkatan dari Allah SWT atas usaha yang murni ini. Amin.

 

Rujukan:

 

  1. Buku Tokoh Ulama Silam - Dato' Haji Abdullah Sijang terbitan Jabatan Mufti Negeri Sembilan.
  2. Buku 'Hizbullah dan Hizbussyaitan' – Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.
  3. Buku 'Ulama Dunia dan Ulama Akhirat' – Ab. Aziz Mohd Zin

 


Posted at 05:55 pm by Afdhal
Make a comment  

Feb 7, 2007
Ulama Negeri Sembilan

 

 


Posted at 04:14 pm by Afdhal
Comments (2)